AKU SUDAH BERPINDAH

MAAF – AKU SUDAH BERPINDAH KE  

HTTP://BIBLIOHOLIKAFE.BLOGSPOT.COM Teruskan membaca

Wacana Karya Sasterawan Negara – Setitis Embun Semarak Api

Kelmarin – 01 Ogos 2008 telah berlangsung wacana karya sasterawan negara iaitu Setitis Embun Semarak Api karya SN Shahnon Ahmad di Bilik Serbaguna 1, Aras 4, Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI. Wacana ini membicarakan salah satu karya biografi Shahnon Ahmad iaitu Setitis Embun Semarak Api (2006). Dalam buku ini Shahnon dirasakan bercerita dengan cukup jujur tentang karya-karya yang pernah dihasilkan dan juga karya yang tidak diterbitkan. Buku yang memuatkan 100 bab ini dirasakan belum lengkap kerana satu lagi karya biografi beliau iaitu Weltanschauung:Suatu Perjalanan Kreatif telah dihasilkan pada tahun ini.

Wacana ilmu ini menjemput dua orang ahli panel iaitu Dato’Prof.Dr Mohd Yusof Hasan dan Dr.Talib Samat bagi mengupas dan membicarakan karya tersebut. Kedua-dua ahli panel mempunyai hubungan yang kuat dengan SN Shahnon Ahmad kerana melakukan kajian ilmiah terhadap tokoh tersebut untuk tesis MA dan PhD mereka.Sementara moderator yang bertanggungjawab ialah Sdr Abdul Halim Ali. Perbincangan berlanjutan hingga lewat petang apabila terlalu ramai yang ingin terlibat sama dalam majlis diskusi. Namun majlis ini ternyata dikuasai oleh golongan pengajar berbanding golongan pelajar pasca. Seharusnya majlis sebegini memberi keutamaan kepada pelajar pasca agar dapat mengasah kemampuan berhujah dan memberi pendapat. Apapun wacana ini kelihatan berjaya mencapai objektif walaupun masa yang diperuntukkan agak suntuk.

Amir Sufi:

Seronok melihat gelagat orang berilmu apabila bercakap!

Politik yang Menjijikkan

Sebenar aku tidak gemar bidang ini. Mungkin kerana selama ini aku terdedah dengan kejijikkannya. Kadang-kadang aku terfikir kenapa orang-orang alim, ahli-ahli akademik dan bijak pandai ingin terjun dalam bidang ini. Tetapi aku buat andaian – biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Akhir-akhir ini suasana politik negara semakin kacau dan terlalu kacau. Terlalu banyak fitnah menfitnah, tuduh menuduh, hentam menghentam, kata mengata dan seribu satu macam kekalutan menjadikan politik yang jijik itu semakin jijik. Kenapa? Tiada siapa yang dapat menjawab dan mungkin sejak azali, politik akan begitu

Aku lihat DYM (Dewan Yang Mulia) semakin terkikis kemuliaannya akibat kelaku dan  tindakan AYB (Ahli Yang Berhormat). Cerca mencerca, herdik mengherdik, jerit menjerit. Hingga anak aku bertanya dewan apa ini? Kenapa tidak ada sopan santun. Bagaimana mereka akan menjadi perantara pemilih jika mereka asyik dengan sifat kebodohan itu? Aku hanya berkata itu sudah ditentukan. Saling ingin jadi ayam jantan atau tekukur yang gila berkokok. Lantas mereka berjaya mengalih perhatian tentang kesukaran yang kita alami sekarang. Inflasi! Aku rasa tiada siapa didalam dewan itu yang membawa usul ini di dalam dewan. Dalam inflasi berlaku kenaikan gaji pegwai tinggi CLC. Tukar Perdana kepada Mercedes. Apa hal mereka ini?

Aku ingin memetik tulisan Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara dan bekas Waibi) dalam Setitis Embun Semarak Api – kadang-kadang terasa hendak ketawa dalam hati kerana gelagat sesetengah anggota DYM amat melucukan. Itu tidak hairan kerana sebahagian besar antara mereka bukanlah mendapat pendidikan yang tinggi dan tidak biasa berhujah secara intelektual, kritis dan analikal. Mereka cuma hentam keromo; sedaya upaya hendak menonjolkan diri sendiri. ( Aku nasihat anda bacalah Bab 56 buku ini).

Berilah sedikit tumpuan kepada rakyat. Jangan jadi Robin Hood pula!

Amir Sufi:

Manusia yang bercakap tanpa berfikir akan jelas kebodohannya. Manusia yang marah tanpa berfikir akan jelas kebodohannya. Manusia yang memilih tanpa berfikir juga jelas kebodahannya. 

RimbunKasih yang Jauh…

Sebenarnya sudah agak lama aku tidak menatap blog aku ini kerana kekangan masa. Itu adalah jawapan untuk menyedapkan hati aku yang sedang panas membara. Ada kisahnya disebalik ayat-ayat tadi. Tentu orang yang membaca tulisan aku ini tertanya-tanya; kenapa? RimbunKasih aku bina dengan penuh kasih sayang di hujung kampung. Memanglah pedalaman. Tiba-tiba berhadapan dengan situasi yang tidak aku sangka-sangka. Tiada kemudahan talian telefon! Ini bermakna segala-galanya seperti akan berakhir. Aku buat beberapa pemohonan tetapi jelas mereka LAYAN aku seperti pendatang haram! Tiada sambungan dan tiada talian. Aku betul-betul bengang. 3G? jangan harap kerana RimbunKasih berada betul-betul di pedalaman dan sesuana tenang itu membolehkan aku hasil 3 manuskrip novel dalam masa terluang ( dalam hal ini aku benar-benar bersyukur!).

Sesekali aku tertanya-tanya di mana tanggungjawab sosial mereka. Mungkin aku adalah antara ribuan mangsa ketidakadilan syarikat monopoli ini! Jadi hari ini( 26Julai) aku gunakan luang yang ada di rumah sahabat pada awal pagi untuk mengaktifkan semula blog yang hampir-hampir pupus ini! Sekadar untuk aku mengatakan bahawa aku benar-benar TIDAK PUAS HATI! Jadi beri sedikit sokongan untuk aku terus berada di alam siber ini demi ketamadunan(Itu kata mereka) dan bukan hedonisme!

Amir Sufi :

Kesakitan yang paling teruk buat manusia ialah apabila dia dihalang untuk menyatakan perasaan yang ada dalam dirinya!

Laman Teori: Satu rasa terima kasih buat para sahabat

Laman Teori – aku rasa aku sediakan satu ruang buat mereka yang sungguh-sungguh dan serius berusaha mengangkat martabat diri dengan ilmu. Aku terharu melihat ibu yang terpaksa meninggalkan anak-anak kecil hanya kerana ingin mendapatkan segulung kertas yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga.

Begitu juga dengan ayah yang terpaksa meninggalkan keluarga, terutama sekali isteri. Belum lagi aku bercerita tentang tidur di surau atau masjid, tidur dalam kereta api, dimarahi ketua kerana bertindak menyambung pelajaran, rasa cemburu dan entah seribu satu rasa lain yang mengiringi mereka dalam perjalanan ke Suluh Budiman.

Jadi aku abadikan ruang tersebut buat mereka dan segala yang terkandung di dalam ruang tersebut adalah pendapat mereka dan tiada kena mengena dengan aku. Mungkin satu pandangan ringkas tetapi di dalamnya terdapat segala jerit perih seorang pelajar tua yang ingin bergelar sarjana!

Amir Sufi:

Kekaguman aku apabila melihat betapa setia si suami menunggu si isteri sehingga habis kuliah setiap minggu.

Dinding Suram Putih Suasa pun Ketawa:

Petang benar ketika itu. Sengaja aku ikut perbualan beberapa rakan dan nampaknya mereka ada ahli baru. Biasalah perbualan petang merewang-rewang tanpa ada skrip dan peraturan. Memang petang benar; kerana aku dapat lihat awan berwarna kuning kemerahan ketika itu. Tiba-tiba tanpa aku duga kata-kata kawan baru itu menyebabkan mulut ku ternganga ( ops..aku sempat menutup dengan kedua belah telapak tanganku) apabila mendengar mesej suaranya ( yang mungkin datang dari dalam kotak akalbudinya ) mengatakan bahawa ‘hang’ yang digunapakai oleh Hang Tuah adalah gelaran tertinggi untuk rakyat marhain dalam masyarakat klasik Melaka berbanding anugerah ‘TUN’, satu anugerah oleh Sultan Melaka kepada HangTuah. Nikmat bual kosong segera melayang jauh!

Atas sandaran apa yang menyebabkan dia berani menuturkan fakta begitu? Dari mana sumbernya? Aku diam kerana itulah sifat aku ( bukan sifat yang dibuat-buat kerana aku lebih suka mendengar dari bercakap. Bukankah mulut itu satu dan telinga kita dua? Bukankah Allah Maha Misteri telah memberi perlambangan agar kita sentiasa berfikir atas anugerahNya? ) Kebetulan keesokan harinya aku mempunyai sedikit masa untuk meneliti Hikayat Hang Tuah ( versi Karya Agung terbitan Yayasan Karyawan ). Aku segera menyelak helaian demi helaian setebal 549 m.s itu mencari fakta kawan baru kami (aku?). Aku mencatat beberapa nama yang memakai(?) gelaran ‘hang’; antaranya Hang Mahmud, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Lekir, Hang Kadim, Hang Nadim, Hang Kamar dan aku bingung mencari Hang Li Po ( Itulah nama yang disebut oleh kawan baru kami (aku?) Mungkin dia merujuk Sejarah Melayu)

Aku segera membuat andaian ( bukan keputusan kerana aku belum sedia mengkaji) bahawa ‘hang’ adalah pemakaian biasa nama bagi orang lelaki dalam masyarakat Melaka ketika itu. Mungkin sekarang seperti Mohamad, Muhammad dan Abdul yang lazim digunakan oleh orang lelaki. Begitu juga wanita dengan pemakaian nama ‘Dang’ yang mungkin sekarang bagi Siti, Nor/Noor/Nur.

Aku masih ingin bertemu semula dengan kawan baru kami (aku?) kerana ada beberapa persoalan yang masih berlegar dalam kotak akalbudi yang masih belum berjawab. Hanya masa menentukannya dan aku mungkin bakal menyelamatkan seorang kawan(?) dari terus mengeluarkan pendapat yang tidak bersandar kajian/pembacaan. Lebih baik berbual tentang ikan kelisa, merbah jambul, ayam serama/sabung, kereta baru, botox Umi Aida, pusat Faizal, bonus, pilihanraya, matinya Loloq. Perbualan tanpa fakta sambil hirup teh dan sesekali merenung kuning kemerahan (bersisik?) awan petang.

Amir Sufi :

Cakap gah segera menunjukkan kita manusia dungu!

Berita dari RimbunKasih

p1020191.jpg  Inilah yang aku maksudkan dengan RimbunKasih. Sebuah rumah kecil yang aku namakan RimbunKasih kerana aku mahu rumah ini dipenuhi dengan rasa kasih sayang sebuah keluarga. Jadi aku dedikasikan nama ini untuk blog yang aku usahakan ini. Sebenarnya rumah ini aku bina dengan harapan aku akan terus menghasil karya di dalam rumah idaman yang dipenuhi dengan gelak ketawa, jerit nakal dan keriuhan harmoni anak-anak. Selama ini merekalah yang sering memberi keuatan kerana dalam gelak ketawa,jerit nakal dan keriuhan; aku dituntut meneruskan penulisanku. Tanpa diduga sejak memulakan kerja penulisan novel sejak 2004, aku telah menghasilkan 8 manuskrip( yang telah diterbitkan, yang memenangi sayembara dan yang masih mentah). Kini RimbunKasih galak menerima tetamu dari pelajar-pelajar universiti yang berminat mengkaji novel yang telah aku hasilkan. Aku dan keluarga menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka. Cuma aku harap mereka ikhlas seikhlas aku menerima mereka. Terima kasih dan Selamat Datang!